Cari apa sebenarnya bakat anda
Setiap orang berbeza, jadi fokus pada konsep yang boleh anda fahami dengan mudah dan kuasainya. Pilih industri yang anda ingin fokuskan. Sebagai contoh, ia mungkin sukan, bank, teknologi, runcit, atau tenaga. Fokus pada saham tertentu. Kaji indikator ekonomi yang anda minati, persekitaran di mana indikator tersebut berkesan atau tidak berkesan, dan bangunkan strategi anda berpaksikannya. Sesetengah trader akan memfokuskan pada Forex, swing trading, atau ETF. Pilih rangka masa trading yang anda mampu kelolai. Setelah anda menemui satu pelan trading yang berkesan dan sesuai dengan anda sebagai seorang trader, teruskan menggunakannya.
Pegang teguh pelan trading anda
Mengkaji pasaran, menyelidik syarikat, dan sentiasa mengikuti berita serta laporan akan memberi anda gambaran yang lebih baik tentang arah yang ingin ditujui oleh pasaran. Sungguhpun begitu, masa depan tidak dapat diramalkan. Apa sahaja boleh berlaku. Anda membuka posisi dengan harapan ia akan bergerak dalam arah yang anda fikirkan, tetapi anda juga mesti mengembangkan strategi untuk meminimumkan kerugian jika ia tidak berlaku. Ini memerlukan disiplin dan mindset tertentu. Strategi yang konsisten, disiplin, dan mindset yang betul boleh membentuk tabiat positif yang membawa kepada trading yang efektif. Berpegang teguh pada pelan anda adalah satu cara untuk memisahkan diri anda dari aspek emosi dalam trading. Jangan obses dengan satu urusniaga yang untung atau rugi yang pernah anda buat. Terima sahaja dan kekalkan pendekatan trading yang berdisiplin, sambil memperbaiki strategi anda sambil anda meneruskan perjalanan trading anda.
Melatih keawasan
Kadangkala, anda tahu anda memiliki kemahiran dan disiplin yang diperlukan, namun ada suara dalam diri anda yang akan memberitahu anda bahawa anda tidak boleh melakukannya. Memupuk keawasan dalam diri boleh mengajar anda untuk mengenal pasti angan-angan dan pola tingkah laku yang mensabotaj dan mengehadkan diri anda sendiri dan menghindarkan diri anda daripadanya. Akui kewujudannya, fahami dari mana ia muncul, dan hadapinya. Ingatkan diri anda bahawa trading ialah sesuatu yang anda telah putuskan dan berhak lakukan, dan bahawa anda mempunyai kemahiran, pengetahuan, kesabaran, dan disiplin yang diperlukan.

Mainkan peranan
Semua orang mempunyai bakat dalam sesuatu perkara. Rasakan perasaan yang anda alami apabila anda melakukan sesuatu yang menjadi kehandalan anda (contohnya memasak, bersukan, melukis, apa sahaja). Bayangkan diri anda semahir itu dalam trading. Dengan sikap optimis, anda sudah pun meletakkan diri anda di posisi seorang juara. Apabila anda membayangkan kejayaan, mempercayainya, kekal positif, dan tidak berputus asa, anda sedang membentuk diri anda. Jika anda menyertai mana-mana perlumbaan dengan fikiran bahawa anda tidak boleh menang, maka anda sudah pun kalah.
Sebaliknya, membayangkan urusniaga anda mengalami kerugian ketika anda belum lagi melakukannya dapat membantu anda menguruskan emosi yang akan timbul sekiranya ia benar-benar merosot. Ini juga boleh memastikan anda memeriksa dan mengesahkan kalau anda benar-benar melaburkan hanya apa yang anda rela lihat hilang.
Belajar daripada kesilapan anda
Ambil maklum tentang kesilapan anda. Fikirkan mengapa ia berlaku. Adakah anda letih, terganggu, kecewa, atau takut? Adakah ini satu kesilapan yang anda boleh elakkan, atau adakah ia disebabkan oleh kekurangan kefahaman atau pengetahuan? Nilaikan dan teruskan. Setup yang paling sempurna sekalipun tidak terlepas daripada gagal. Terima kesudahan urusniaga anda dan lihat setiap urusniaga sebagai peluang untuk belajar. Akhirnya, dalam anda terus maju ke hadapan, anda akan berhenti melakukan kesilapan yang sama. Urusniaga yang pernah menjadi aksi terbaik anda akan menjadi standard minimum anda, dan anda akan menetapkan standard yang lebih tinggi untuk dicapai. Urusniaga yang untung sekalipun adalah peluang untuk belajar. Anda boleh menjejaki urusniaga yang untung dan rugi anda untuk melihat bagaimana anda berkembang. Cuba untuk jujur sebaik mungkin dengan diri anda tentang kejayaan dan kegagalan anda.
Kesimpulan
Sebagai seorang trader, anda akan mengalami pelbagai emosi yang akan mengaburi pertimbangan anda. Anda akan melakukan kesilapan dan urusniaga yang merugikan sepanjang perjalanan anda dalam trading. Keyakinan dalam trading yang berasas bukanlah sesuatu yang dilahirkan bersama dengan anda. Ia dibina dari masa ke masa menerusi kesabaran, pengalaman, kompetensi, keyakinan diri, dan tabiat trading yang betul. Ia membantu anda kekal tenang tatkala pasaran turun naik dan meruap-ruap serta membuat keputusan dengan lebih pantas. Ingat: tiada jalan pintas. Luangkan masa untuk membina asas yang kukuh dan belajar tanpa terburu-buru. Kadangkala, ada eloknya jika anda berehat dan menutup komputer buat seketika.
Anda tidak dapat meramalkan masa hadapan, tidak kira betapa hebat ilmu anda mengenai trading. Apa yang boleh anda lakukan, bagaimanapun, adalah mengamalkan cara berfikir yang betul. Kekal positif, berlatih, dan ikut strategi yang telah difikirkan dengan masak-masak. Akui emosi anda, tetapi jangan biarkan ia menguasai anda. Pengalaman dan muhasabah diri akan memberi anda keyakinan untuk menggantikan ketakutan dan keangkuhan dengan kejernihan akal dan kawalan.
Setiap trader memulakan perjalanan mereka dari petak pertama. Sambil anda maju ke hadapan, anda akan menguasai strategi baru, menambah alat baru ke dalam toolkit anda. Seiring waktu, anda akan dapat mengendalikan pelbagai senario trading dengan yakin.